Airmata Gembira Menawan Puncak Gunung Kinabalu

Thursday 8 August 2019
Hello Guyss.
Perjalanan dua orang jejaka ini bermula sebaik sahaja pesawat yang di nakhoda oleh Kapten Azlan Shahir selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 12.05 pagi, 02 Ogos lalu.
 Misi dirancang sejak 2017, akhirnya menjadi kenyataan selepas Taman-Taman Sabah menetapkan tarikh pendakian untuk kami berdua pada 03 Ogos 2019 , sekali gus memberi peluang kepada kami berdua untuk menakluki Gunung Kinabalu, antara puncak tertinggi di Asia Tenggara yang memiliki ketinggian 4,095 meter atau sejauh 8.7 kilometer dari Timpohon Gate.
Bertemankan seorang malim gunung merangkap porter berpengalaman lebih dari sepuluh tahun, Francis, kami memulakan pendakian meneroka laluan ke puncak Gunung Kinabalu yang menjadi tumpuan pendaki tempatan dan luar negara.
Sebelum memulakan pendakian, kami dimaklumkan mungkin cuaca sedikit ribut dan berkemungkinan hujan sepanjang perjalanan dan di Panalaban, iaitu tempat persinggahan di ketinggian 3,272 meter dari aras laut.
Justeru, kami dinasihatkan  supaya bersiap sedia dengan kemungkinan yang datang oleh malim gunung. Panalaban adalah hentian baharu selepas Laban Rata ditutup berikutan kerosakan teruk akibat gempa bumi pada 2015. Semua pendaki yang ingin ke Low's Peak, perlu bermalam di sini, sebelum meneruskan pendakian pada jam 2.30 pagi.
Terdahulu, pada sesi taklimat sebelum mendaki, kami berdua diminta memaklumkan kepada malim gunung mengenai tahap kesihatan kami, bagi memudahkan aspek pemantauan, selain sebagai langkah berjaga-jaga. Antara penyakit yang tersenarai antaranya, tekanan darah tinggi, kencing manis, asma & penyakit jantung.
Diiringi bacaan doa, kami memulakan pendakian dengan menuruni anak tangga dari Timpohon Gate dan seterusnya menyusuri laluan hampir mendatar menuju ke air terjun Carson Fall.
 Kami seterusnya diuji dengan laluan batuan bertangga yang dibentuk berdasarkan bentuk muka bumi dan akar pokok hingga ke kilometer (KM) 4, sambil melewati beberapa pondok perhentian, bermula Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Villosa, Paka dan Waras sebelum tiba di Panalaban.

Kelajuan pendakian sebenarnya bergantung kepada stamina, ketahanan mental dan semangat pendaki.
Seperti yang diterangkan oleh Francis, pendakian fasa pertama adalah santai-santai bagi memberi peluang kepada kami untuk merakam gambar serta mengelak 'kaki krem' bagi meneruskan pendakian ke puncak pada awal pagi keesokan harinya.
Pendakian dianggap mencabar sebaik sahaja melepasi KM4, kerana keadaan suhu yang semakin sejuk, selain laluan yang semakin menegak, berbatu dan curam dengan gaung di kiri dan kanan, sekali gus amat menduga ketahanan mental dan fizikal kami.
Jika tersilap langkah, kami berisiko tinggi mendapat kecederaan dan sudah pasti menjejaskan peluang untuk meneruskan pendakian ke puncak.
Keadaan suhu yang agak sejuk dan berangin memberi kesukaran kepada kami tetapi dengan teknik pernafasan yang betul, selain latihan dan bekalan ubat-ubatan yang cukup, kami berdua berjaya tiba di Panalaban dengan selamat dalam tempoh empat jam.
Kami bermalam di Lemaing Hostel yang diuruskan Taman-Taman Sabah dan bersiap sedia untuk memulakan pendakian ke puncak pada jam 2.30 pagi menuju ke stesen Sayat-Sayat.
Semua pendaki perlu melepasi pusat pemeriksaan itu sebelum jam 5 pagi, jika sebaliknya, mereka tidak dibenarkan ke puncak.



Selepas menikmati hidangan malam, di Laban Rata Resthouse, kami berehat menantikan waktu untuk bergerak ke Sayat-Sayat.
Suhu yang rendah menyukarkan kami untuk melelapkan mata, namun ini tidak mematahkan semangat untuk menakluk puncak.
Selain memakai pakaian dan kasut sesuai, Francis memaklumkan kami supaya memakai topeng kerana ketiadaan hujan menyebabkan laluan ke puncak amat berangin  berembun & berdebu yang sangat kuat berikutan Gunung Kinabalu terbentuk daripada terobosan tektonik batuan Igneous berusia lapan juta hingga 15 juta tahun lalu, ia boleh membahayakan kesihatan pendaki.
Perjalanan kami ke puncak mengikut laluan baharu, susulan gempa bumi pada 2015,
Serpihan bongkah dari puncak Tunku Abdul Rahman yang mengorbankan nyawa pada 2015 masih 'tersergam' indah dan boleh dilihat jelas ketika pendaki menuruni puncak dari laluan 'anak tangga 1,000'.

Walaupun dibelenggu kesejukan, berbekalkan sisa kudrat selepas mengharungi tangga dan kemudiannya bertali di laluan batuan curam yang berbahaya.
Akhirnya kami berdua tiba di puncak ketika jarum jam menghampiri waktu 5.15 pagi.
Yang pasti, perasaan kegembiraan serta hiba ketika kami tiba di puncak selepas menempuh perjalanan yang panjang & bagi kami agak sukar sebagai mensyukuri peluang menikmati keajaiban ciptaan Allah SWT.
Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan kami apabila berjaya memenuhi impian untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.


Bagi yang mencari pakej-pakej percutian jimat boleh like facebook
Seperti link di bawah ye☺️



Popular Posts